Welcome to KAMI ICC Group Horse Power's Weblog!!

Thursday, July 31, 2008

Kebebasan Hak Asasi

Hak mengenai ‘Kebebasan Hak Asasi’ (Fundamental Liberties) dengan jelasnya terkandung dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan.Perlembagaa Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di negara ini.

Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan merupakan kebebasan asasi yang diberikan kepada setiap warganegara.

Hak-hak tersebut adalah tonggak kepada demokrasi yang diamalkan di Malaysia dan ia juga merupakan perkara-perkara yang terkandung dalam ‘Hak Asasi Manusia Sejagat’ (Universal Human Rights Fundamental Liberties).

Mengenai ‘Kebebasan Bersuara’ (freedom of speech), ianya dinyatakan dengan jelas di dalam Perkara 10 (1) (a) yang menyatakan tiap-tiap warganegara berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran.

Namun begitu, setiap sesuatu ada had dan batasannya. Demikianlah juga dengan kebebasan manusia (baca rakyat).

Satu hakikat yang harus diterima dan difahami ialah tiada satu pun di dunia ini yang bersifat mutlak (absolute). Demikianlah halnya dengan kebebasan bersuara yang diberikan oleh Perlembagaan negara di mana ianya mempunyai had-had, kawalan dan sempadan yang tertentu. Ianya boleh diumpamakan suatu ‘kontrek sosial’ bagi menjamin kerukunan, keharmonian dan solidarity serta keselamatan dan kedaulatan negara daripada diganggu-gugat.

Undang-undang memang diperlukan dalam masyarakat yang bertamadun di mana tanpa tertegaknya undang-undang negara akan menuju anarkisme. Umunnya undang-undang diperlukan dalam masyarakat/negara bagi tiga tujuan utama :

· bagi memberi dan mengiktiraf hak-hak individu dan masyarakat;
· bagi melindungi hak-hak tersebut; dan,
· bagi menjamin keselamatan, ketenteraman dan keharmonian masyarakat.



Undang-undang jugalah yang akan menghukum seseorang yang merampas dan mengancam hak-hak individu dan kesejahteranan masyarakat.

Kebebasan bersuara yang diberikan oleh Perlembagan wajar digunakan sebaik mungkin mengikut lunas-lunas dan had-had yang telah ditentukan. Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia ini, kebebasan bersuara sama ada melalui pengucapan/percakapan dan melahirkan buah fikiran melalui media cetak atau elektronik haruslah mengelakkan daripada menyentuh isu-isu sensitif atau perkara-perkara yang boleh menimbulkan salah faham dan ketegangan dalam negara.

Beberapa perkara utama yang harus dikawal oleh warganegara dalam memenuhi konsep kebebasan bersuara di negara ini ialah:

· Isu-Isu Sensitif : Bagi Isu-isu sensitif yang telah ditentukan oleh Perlembagaan dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1971 melalui Akta (Pindaan) Perlembagaan (Akta A30),yang mula berkuatkuasa mulai 10 Mac 1971, menjelaskan sesiapa yang mempermainkan/mempersoalkan isu-isu sensitif maka ia menjadikannya sebagi satu hasutan atau jenayah. Isu-isu sensitif itu ialah seperti hak dan keistemewaan sebagai mana yang telah ditetapkan atau diperlindungkan oleh peruntukan Perlembagaan berkenaan dengan kewarganegaraan, bahasa kebangsaan dan penggunaan bahasa-bahasa lain secara tidak rasmi, berkenana dengan kuota bagi orang melayu dan penduduk bumiputera Sabah dan Sarawak dan juga berkenaan kedaulatan raja-raja.

· Keselamatn Negara: Di bawah Perkara 10(2) mejelaskan demi keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya. Ini bermaksud sesuatu ucapan atau apa-apa bentuk pengaliran fikiran yang boleh menjejaskan keselamatan negara adalah dilarang.

Ketenteraman Awam: Peruntukan Perkara 10(2) juga menyentuh alasan ketenteraman awam seperti mengapi-apikan isu pertkauman adalah terlarang.

Akhlak dan moral: Kebebasan bersuara dalam negara mempunyai tanggungjawab moral di mana ianya mestilah tidak merosakkan akhlak/moral rakyat. Misalnya menulis dan menerbitkan buku-buku, majalah-majalah atau apa-apa kaedah penerbitan yang berunsur lucah.

· Penghinaan terhadap mahkamah.

· Menghina kedudukan raja-raja.

.Mempertikai hak-hak keistemewaan yang telah ditentukan oleh perlembagaan.

· Fitnah atau perbuatan mengapi-apikan supaya dilakukan sesuatu kesalahan.

· Menyibarkan berita-berita palsu.

· Menghasut seperti terkandung dalam Akta Asutan 1948 (Semakan 1969).


Kebebasan bersuara yang diberikan oleh Perlembagaan sewajarnya digunakan dengan baik. Menyalah gunakan kebebasan bersuara atau mana-mana hak asasi sehingga menimbulkan kegelisahan dan ketengangan dalam masyarakat boleh membawa kepada kehancuran negara-bangsa adalah ditegah sama sekali.

Kebebasan menyuarakan pendapat sama ada melalui pengucapan, penulisan dan apa-apa bentuk kaedah komunikasi mestilah berhati-hati dan bertanggungjawab. Kepentingan negara harus diutamakan agar perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian yang sudah lama wujud tidak diroboh dan dihancurkan. Semangat mengekalkan perpaduan antara kaum harus disemai dan diperkukuhkan lagi.

Ruang kebebasan bersuara yang diberikan bukalah “lesen” untuk memperkatakan sesuatu tanpa tanggunjawab di sisi undang-undang. Negara sentiasa melihat dan memastikan hak asasi dilaksanakan dengan berpegang kepada konsep ‘hak berserta tanggungjawab’ (rights with responsibility). Jadi apabila kita bercakap tentang hak maka tanggungjawab itu sendiri adalah hak yang perlu dilaksanakan.

Dalam memelihara kedamaian dan keamanan serta kedaulatan negara maka rakyat pelbagai kaum dan amalan agama di negara ini mestilah lebih berhati-hati dalam membincangkan isu-isu yang boleh memarakkan api perkauman seperti soal-soal agama, bahasa, pendidikan, budaya, ekonomi dan elakkan perkara-perkara yang berunsur subversif, menghasut dan menfitnah yang boleh mencetuskan kekacauan dalam masyarakat dan negara.

Elakan ‘bermain api’ dengan isu-isu sensitif seperti yang telah digariskan oleh Perlembagaan dan Undang-undang yang terdapat di negara kita. Ingatlah ‘kerana pulut santan binasa kerana mulut badan binasa’. Disebabkan kebebasan bersuara yang tiada kawalan, maka negara boleh menuju ke arah kehancuran (anarkisme). Oleh itu berhati-hatilah dalam menggunakan kebebasan bersuara. ‘Biar salah kain, jangan salah mulut’ .

1 comment:

Anonymous said...

Undang2 ini manusia yg buat tak boleh pakai ,sebab org yg buat undang2 tu pun tak nak ikut lepas tu dia suroh kita ikut,betul tak bro? .